Terdapat dua contoh komunikasi yang telah dapat ditemui iaitu komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan.
KOMUNIKASI LISAN
Komunikasi berlaku dalam pelbagai konteks sama ada melalui komunikasi interpersonal, komunikasi kumpulan kecil hinggalah kepada komunikasi awam. Lazimnya, kita berkomunikasi menggunakan bahasa sama ada melalui pertuturan atau penulisan. Contohnya, apabila kita berkomunikasi dengan ahli keluarga dan sahabat handai kita akan menggunakan bahasa baik dan sopan. Melalui kumpulan kecil kita akan menggunakan kata-kata rangsangan untuk membangunkan idea, pendapat serta berkongsi maklumat di kalangan ahli. Seterusnya melalui komunikasi awam pula, kita akan menggunakan perucapan lisan untuk mempengaruhi serta membujuk khalayak awam untuk menerima pendapat dan idea disampaika. Menurut Sapir (dlm. Nasariah Mansor et al. 2000), bahasa ialah satu kaedah yang bersifat naluri untuk menyampaikan mesej, emosi dan kemahuan melalui simbol-simbol yang dilahirkan sama ada secara sengaja atau tidak disengajakan. Manakala Block & Trager (dlm.Asmah Omar,1996) pula mendefinisikan bahasa sebagai suatu sistem lambang pertuturan yang arbitrasi, digunakan oleh ahli-ahli masyarakat untuk berkomunikasi. Justeru itu, komunikasi lisan merupakan pengucapan (penggunaan bahasa dalam bentuk pertuturan dan penulisan) yang disampaikan kepada individu lain dengan tujuan perkongsian makna.
KOMUNIKASI BUKAN LISAN
Komunikasi bukan lisan dikenali juga sebagai komunikasi tanpa perkataan. Harrison (1965) berpendapat bahawa penyelesaian yang paling mudah untuk mentakrifkan komunikasi lisan adalah sebagai apa-apa perkara yang menggunakan perkataan bertulis dan dituturkan sedangkan komunikasi bukan lisan pula menggunakan simbol-simbol Pandangan Harrison (1965) ini disokong oleh Knapp (1972) yang menyatakan bahawa komunikasi bukan lisan merangkumi 'peristiwa' perkataan yang tidak dituturkan atau ditulis. Komunikasi bukan lisan merupakan satu bentuk mesej komunikasi yang penting. Berdasarkan komunikasi bukan lisan kita boleh menafsir emosi, personaliti, tujuan dan juga status sosial seseorang. Di samping itu, komunikasi bukan lisan juga dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian sesuatu mesej serta berfungsi sebagai pelengkap kepada komunikasi lisan.
No comments:
Post a Comment